SAR hari ke-3: Cuaca amat tak mengizinkan, operasi ditangguh

SAR hari ke-3: Cuaca amat tak mengizinkan, operasi ditangguh

Cuaca yang amat tidak mengizinkan dan kawasan tidak stabil merumitkan usaha mencari dan menyelamat.

Ketua Polis Hulu Selangor, Suffian Abdullah, berkata operasi akan disambung semula pada 8 pagi esok (Isnin) ekoran keadaan cuaca yang amat tidak mengizinkan.
BATANG KALI:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa insiden tanah runtuh di kawasan tapak perkhemahan di laluan Batang Kali-Genting Highlands pada hari ketiga ditangguh susulan keadaan cuaca amat tidak mengizinkan.

Ketua Polis Hulu Selangor, Suffian Abdullah, berkata operasi akan disambung semula pada 8 pagi esok (Isnin).

“Operasi mencari dan menyelamat pada hari ini ditangguhkan setelah saya berbincang dengan pihak bomba, di mana kita dapati dari petang tadi hingga malam ini keadaan cuaca amat tidak mengizinkan.

“Bomba yang berada di barisan depan menghadapi cabaran bukan sahaja dari segi cuaca tetapi keadaan yang bahaya terutama di waktu malam, termasuk berlaku pergerakan di kawasan yang tidak stabil,” katanya pada sidang media malam tadi.

Terdahulu Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata tiada penemuan baharu dalam operasi SAR mangsa insiden tanah runtuh.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas, mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa setakat petang semalam, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.