
Dalam kenyataan di Facebook, Presiden PBM Larry Sng, berkata penggantungan Chua Lian Chye dan Muniraa Abu Bakar, ditarik balik dan kedudukan dalam parti dikembalikan, semalam.
Kedua-duanya antara 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM yang digantung, pada 28 Okt, kerana didakwa tidak berdisiplin. Ia termasuk bekas menteri perusahaan perladangan dan komoditi, Zuraida Kamaruddin, ADUN Lembah Jaya Haniza Talha dan ADUN Sementa Daroyah Alwi.
Penggantungan dibuat berkait pembabitan mereka yang menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya.
Sng berkata surat tunjuk sebab akan dihantar kepada 11 lagi Ahli Majlis Tertinggi parti.
“Gagal menjawab secara bertulis dalam tempoh seminggu boleh menyebabkan tindakan tegas diambil termasuk dipecat serta merta oleh parti.
“Sekiranya mereka mengemukakan maklum balas, saya sudah mengarahkan jawatankuasa disiplin menyelesaikan status ahli terbabit sebelum penghujung bulan ini,” katanya.