Bersatu gugur sebagai komponen GRS

Bersatu gugur sebagai komponen GRS

Timbalan pengerusi GRS itu berkata dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi, pada 9 Dis, juga mengekalkan Hajiji Noor sebagai pengerusi.

Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Maximus Ongkili, berkata keanggotaan Bersatu dalam gabungan itu digugurkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan menggugurkan keanggotaan Bersatu sebagai komponen gabungan berkenaan, kata timbalan pengerusinya, Maximus Ongkili.

Katanya, dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS yang dipengerusikannya pada 9 Dis, beliau berkata, Hajiji Noor juga kekal sebagai pengerusi GRS.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya, hari ini.

Pada 10 Dis, Hajiji berkata, beliau bersama pemimpin tertinggi Bersatu Sabah secara sebulat suara keluar parti itu.

Ongkili ketika mengulas lanjut, berkata kenyataan itu dikeluarkan susulan isu dibangkitkan Ketua Bersatu Sabah Ronald Kiandee, semalam, yang menyatakan Perjanjian Persefahaman Kerjasama ditandatangani GRS sebagai “tidak sah” kerana tidak mewakili aspirasi Bersatu sebagai parti pengasas GRS.

“YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee atau pun partinya tidak ada hubungan dengan perjanjian persefahaman kerajaan perpaduan yang prinsip dan matlamatnya telah ditolak oleh parti beliau,” katanya.

Selepas Hajiji keluar dari Bersatu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menamakan Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran sebagai ketua Bersatu Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.