
Dalam satu kenyataan, Rimba Disclosure Project, sebuah inisiatif yang memantau hutan Malaysia, berkata beberapa projek, yang sebahagiannya sedang dalam pembinaan, terletak di atas tanah yang sensitif terhadap alam sekitar, seluas kira-kira 5,700 hektar.
Katanya, ini melibatkan 5,000 hektar untuk Rancangan Kawasan Khas Bentong, Rancangan Kawasan Khas Genting (316 hektar), pembangunan Tropicana Windcity (248.7 hektar), LBS Bina (125 hektar), dan projek Pavillion Genting yang sedang dijalankan (14.5 hektar).
Rimba Disclosure berkata, pihaknya terkejut apabila kerajaan tempatan meluluskan pembangunan di atas tanah ini sedangkan peraturan bawah Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan di tanah sensitif alam sekitar.
Katanya, pihak berkuasa yang berkaitan, agensi dan jabatan kerajaan sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan semula hutan di kawasan ini.
Dalam kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman menggesa kerajaan negeri Pahang mengkaji semula semua projek pembangunan di lereng bukit bagi mengelak tragedi tanah runtuh.
Beliau juga menyeru pengusaha tempat pelancongan, terutama mereka yang perniagaannya terletak di lereng bukit, berwaspada, mengambil langkah berjaga-jaga dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mereka mendapati terdapat tanda-tanda potensi tanah runtuh.
Awal pagi semalam, berlaku kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan River Hilltop, Farmview and River Side berdekatan Father’s Organic Farm, Jalan Genting Highlands-Batang Kali.
Berdasarkan rekod pendaftaran pelawat pengendali tapak perkhemahan, terdapat 94 orang berada di tapak khemah semasa kejadian di mana 61 daripadanya terselamat.
Jumlah kematian setakat ini ialah 21, dengan 12 orang masih hilang. Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.