Tapak khemah Batang Kali tiada lesen, kata Nga

Tapak khemah Batang Kali tiada lesen, kata Nga

Menteri pembangunan kerajaan tempatan mengesahkan tapak perkhemahan terlibat dalam insiden tanah runtuh pagi tadi tidak berlesen.

Nga Kor Ming berkata pengendali itu dibenarkan membuka ladang organik tetapi tidak memohon untuk mendirikan tapak perkhemahan. (Gambar Facebook)
HULU SELANGOR:
Tiga tapak perkhemahan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, sehingga mengorbankan 16 nyawa setakat ini disahkan tidak berlesen, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Pengendali tapak perkhemahan itu berdepan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000, jika didapati bersalah

Nga mengesahkan bahawa pengendali itu dibenarkan membuka ladang organik, tetapi tidak mengemukakan permohonan untuk mendirikan tapak perkhemahan.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan semua 155 pihak berkuasa tempatan seluruh negara untuk mengosongkan semua tapak perkhemahan di tepi sungai selama tujuh hari dengan segera.

Katanya, kerajaan akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) untuk melihat sama ada tapak perkhemahan ini berisiko, dan menasihatkan pengendali tapak melibatkan diri dengan Jabatan Mineral dan Geosains untuk mengkaji semula struktur tanah mereka.

Kejadian tanah runtuh berlaku di beberapa tapak perkhemahan berhampiran Genting Highlands awal pagi tadi. Mereka yang terjejas berada di River Hilltop, Farmview dan River Side.

Walaupun kebanyakan mangsa telah ditemui, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan untuk mencari baki mangsa yang lain.

Setakat jam 1 petang tadi, angka kematian mencecah 16 orang manakala 61 berjaya diselamatkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.