Lelaki ditahan hina Agong berkait lantikan PM

Lelaki ditahan hina Agong berkait lantikan PM

Polis berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan selepas membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong susulan pelantikan perdana menteri.

Setiausaha polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki itu direman tiga hari selepas ditahan semalam.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan terhadap satu hantaran di Facebook yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Setiausaha polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki berusia 33 tahun itu direman tiga hari bermula hari ini, selepas ditahan semalam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak.

“Satu laporan diterima berhubung kenyataan berkenaan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘As Bul’ dan siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo serta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial berhemah dan tidak menggunakan platform media sosial untuk membangkitkan kegusaran dan kebencian yang boleh menggugat keharmonian negara, terutama melibatkan isu 3R, iaitu Raja (rulers), agama (religions) dan bangsa (races).

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.