
Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, setakat 11 pagi tadi seramai 13 orang meninggal dunia.
Bagaimanapun, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi hantaran Twitter pada 12 tengah hari memaklumkan kematian melibatkan 11 mangsa.
Penjelasan mengenai jumlah sebenar kematian sedang diperoleh pihak berkuasa.
Kejadian tanah runtuh itu berlaku di beberapa tapak perkhemahan berhampiran Genting Highlands awal pagi tadi. Tapak perkhemahan itu termasuk River Hilltop, Farmview dan River Side.
Kebanyakan daripada mereka tiba di kawasan itu sejak Rabu.
Walaupun ramai yang berjaya diselamatkan namun operasi mencari dan menyelamat masih lagi dilakukan.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.24 pagi dan tiba di lokasi setengah jam kemudian.
Operasi turut dibantu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, Rawang, Genting Highlands, Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang, Andalas.
Anggota Pasukan Khas Taktikal, Operasi dan Penyelamat (STORM) dan Unit K9 turut berada di lokasi.