
Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan itu selepas mendengar hujahan peguam DP Naban yang mewakili empat ADUN Bersatu itu, serta Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan negeri.
Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang arahan berhubung kos.
Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu memutuskan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhak menggubal undang-undang untuk menentukan kelayakan ahlinya.
Dakam keputusan itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Perkara 14A Perlembagaan Pulau Pinang adalah sah, yang dikatakan konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah juga memutuskan Perlembagaan Persekutuan tidak memberi jaminan ADUN mempunyai hak menukar sokongan daripada sebuah parti politik ke parti lain.
Empat ADUN Bersatu itu adalah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Telok Bahang).
Mereka sebelum ini memfailkan permohonan untuk mencabar usul Speaker DUN ketika persidangan pada Oktober 2020, supaya mereka mengosongkan kerusi bagi pilihan raya kecil diadakan.
Empat ADUN itu mendakwa undang-undang anti-lompat parti Pulau Pinang 2012 digunakan terhadap mereka secara salah.
Mereka juga menafikan berpaling tadah atau menukar sokongan kepada parti lain.
Zulkifli dan Afif dipecat daripada PKR pada 2020, sebelum menyertai Bersatu, manakala Khaliq dan Zolkifly adalah ahli Bersatu.
Mahkamah Tinggi kemudian merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan untuk menentukan persoalan perlembagaan berkaitan Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang.
Sebulan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos itu, empat ADUN itu memfailkan permohonan baharu untuk mencabar enakmen berkenaan dan mendakwa DUN tidak layak meluluskan undang-undang tersebut.
Terdahulu, Naban dalam hujahnya hari ini berkata, DUN Pulau Pinang tiada kuasa membuat undang-undang sedemikian dan ia bertindak melebihi kuasanya berhubung pemilihan ADUN.
Malik pula berhujah, DUN mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang antilompat parti mengikut perlembagaan negeri.
Katanya, empat ADUN itu cuba “mengekalkan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat” dengan memfailkan tindakan itu.