Saya dah dedah, fokus sekarang siapkan LCS dengan wang berbaki, kata Rafizi

Saya dah dedah, fokus sekarang siapkan LCS dengan wang berbaki, kata Rafizi

Ahli Parlimen Pandan berkata beliau sudah selesai melakukan pendedahan mengenai kemungkinan berlaku penyelewengan dalam projek itu malah ada pihak yang telah didakwa.

Rafizi Ramli berkata fokus ketika ini adalah menyiapkan dua hingga tiga LCS dengan wang berbaki.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli membidas pihak yang mempersoalkan pendiriannya berhubung isu skandal projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau sudah selesai melakukan pendedahan mengenai kemungkinan berlaku penyelewengan dalam projek itu, malah ada pihak yang sudah didakwa serta terdapat siasatan masih berjalan.

“Dah dedah penuh pun. Ada yang didakwa, ada siasatan masih berjalan.

“Fokus sekarang siapkan dua hingga tiga LCS dengan wang berbaki,” katanya di Twitter membalas ciapan seorang pengguna yang mempersoalkan status pendedahannya berhubung skandal projek pembinaan kapal itu.

Terdahulu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata pada asalnya kapal model Sigma yang dipilih TLDM telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.

Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus. Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.

Susulan itu, Rafizi pada pertengahan Ogos lalu mula membuat beberapa siri pendedahan mendakwa berlaku keraguan membabitkan beberapa syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan turut menegaskan mahu fokus memastikan aset ketenteraan negara itu siap dibina mengikut jadual, sambil menambah bahawa tidak guna mengungkit perkara lalu berhubung LCS.

Mohamad yang memulakan tugas rasmi di kementerian pada 5 Dis lalu berkata, beliau akan mendapatkan taklimat berkaitan kemajuan projek LCS daripada pihak terbabit dalam masa terdekat sebelum memberikan sebarang penjelasan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.