Rasuah: Bekas pembantu tadbir USM mula hukuman penjara 12 bulan

Rasuah: Bekas pembantu tadbir USM mula hukuman penjara 12 bulan

Abdul Kahar Kalid didakwa atas empat pertuduhan memberi kontrak untuk pembekalan komputer, pencetak dan barangan lain kepada syarikat milik isterinya.

Hukuman penjara bekas pembantu tadbir USM Abdul Kahar Kalid dikurangkan dari 18 bulan kepada 12 bulan oleh Mahkamah Rayuan. (Gambar Bloomberg)
PUTRAJAYA:
Bekas pembantu tadbir kanan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang memulakan hukuman penjara 12 bulan hari ini selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terakhirnya bersabit empat pertuduhan rasuah membabitkan kira-kira RM8,000.

Abdul Kahar Kalid, 57, bagaimanapun, berjaya mendapatkan pengurangan tempoh hukuman penjara daripada tempoh 18 bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.

Hakim Mariana Yahya, yang menyampaikan penghakiman lisan, berkata hakim mahkamah sesyen yang mengendalikan perbicaraan itu tidak terkhilaf apabila dia mengarahkan Kahar membela diri.

“Hakim perbicaraan bertindak betul untuk menggunakan anggapan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk memerintahkan perayu menjawab pertuduhan itu,” katanya.

Mariana berkata aduan Kahar bahawa beberapa saksi pendakwaan tidak boleh dipercayai adalah tidak berasas berdasarkan penemuan fakta yang dibuat oleh hakim perbicaraan.

“Kami mendapati sabitan, yang turut disahkan oleh Mahkamah Tinggi, adalah selamat,” katanya.

Bagaimanapun, panel itu, yang turut dianggotai Hakim Kamaluddin Said dan Hadhariah Syed Ismail, membenarkan rayuan Kahar untuk mengekalkan hukuman penjara 12 bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen pada 6 Jan 2020, yang diperintahkan berjalan serentak.

Mahkamah Tinggi telah menambah tempoh hukuman kepada 18 bulan berikutan rayuan pihak pendakwaan tahun lepas.

“Hakim mahkamah sesyen wajar mempertimbangkan prinsip hukuman dalam melaksanakan hukuman itu,” katanya.

Mahkamah Sesyen juga mengenakan denda RM56,544 yang telah dibayar oleh Kahar.

Bagi pertuduhan pertama, Kahar didapati menyalahgunakan jawatannya sebagai pegawai awam dengan menyerahkan kontrak perolehan untuk membekalkan toner pencetak, pemacu cakera USB dan alat tulis bernilai RM3,508.80 kepada Neo Global Enterprise, milik isterinya, Salena Aliass.

Dia melakukan kesalahan itu di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Penyelidikan USM pada 1 Julai 2011.

Bagi pertuduhan kedua, dia didapati memberi kontrak untuk membekalkan satu unit pencetak laser warna HP bernilai RM969 kepada Neo Global Enterprise di premis sama pada hari yang sama.

Kahar turut memberi kontrak untuk membekalkan satu unit pengimbas Epson bernilai RM568 kepada Neo Global Enterprise di premis yang sama pada 10 Ogos 2011.

Bagi pertuduhan keempat, dia didapati telah memberikan kontrak untuk membekalkan Dell Optiplex desktop-790MT bernilai RM3,800 kepada Neo Global Enterprise di premis sama antara 11 Julai dan 19 Julai 2011.

Peguam Hafiz Jalaludin mewakili Kahar manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.