Projek tebatan banjir dilaksana sehingga 2100, kata Zahid

Projek tebatan banjir dilaksana sehingga 2100, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata, perancangan yang mengambil masa 78 tahun itu akan dilakukan secara berfasa.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek tebatan banjir dilakukan secara berfasa di kawasan sering dilanda banjir dan limpahan hujan. (Gambar Bernama)
PASIR MAS:
Kerajaan akan terus melaksanakan projek tebatan banjir bagi menangani masalah bah dalam jangka panjang sehingga 2100.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, perancangan yang mengambil masa 78 tahun itu akan dilakukan secara berfasa.

“Projek tebatan banjir ini akan dilakukan secara berfasa di kawasan sering mengalami banjir dan limpahan hujan dan projek ini membabitkan peruntukan besar,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja dan menziarahi mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Tok Deh.

Zahid berkata, antara pelan yang akan dilaksanakan termasuk menggali kuala atau muara sungai bagi mendalamkan kawasan sungai untuk memudahkan aliran air bergerak ke laut.

“Terdapat juga longgokan pasir di muara sungai yang menyebabkan aliran air tersekat sehingga menyebabkan banjir.

“Oleh itu, apabila kita melakukan proses menggali pasir ini, ia boleh melebarkan sungai, sekali gus dapat menyelesaikan masalah aliran air di kawasan terjejas banjir kerana keutamaan akan dilakukan di kawasan berlaku limpahan air atau banjir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.