
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata suspek lelaki yang berusia 22 tahun dan teman wanitanya berusia 25 tahun ditahan di Bandar Baru Permas Jaya pada 7.30 malam semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, tangkapan itu menyusul laporan polis oleh guru sebuah sekolah agama di Taman Mount Austin pada 1 Dis lalu yang dipercayai dipecah masuk antara 6.30 petang 30 Nov hingga 8 pagi 1 Dis lalu.
“Kedua-dua suspek ditahan bersama beberapa barang rampasan, termasuk enam beg galas pelbagai jenama, projektor, tujuh kad mesin juruwang automatik (ATM), empat telefon bimbit, empat jam tangan, spanar, pemutar skru dan gunting.
“Hasil siasatan mendapati tangkapan itu dapat membantu menyelesaikan 10 kes jenayah lain membabitkan kes pecah surau, sekolah, tadika, pejabat dan samun,” katanya dalam kenyataan.
Raub berkata, suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala suspek wanita memiliki satu rekod berkaitan kes dadah.
“Ujian awal saringan air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah,” katanya memaklumkan polis sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kes itu bagi membantu siasatan.