Pasang CCTV di lokap, kenderaan polis dan imigresen, kerajaan diberitahu

Pasang CCTV di lokap, kenderaan polis dan imigresen, kerajaan diberitahu

Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata ini akan menghalang kes salah guna kuasa.

Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata pemasangan CCTV itu baik untuk tahanan dan pihak berkuasa. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Seorang bekas Ahli Parlimen menggesa kerajaan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap kemudahan dan kenderaan polis serta jabatan imigresen seluruh negara selepas perolehan kamera badan untuk pasukan keselamatan itu.

Bekas Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, berkata ini akan memastikan amalan buruk pihak berkuasa, seperti kezaliman polis dan salah guna kuasa dapat dicegah.

“Memasang CCTV yang berfungsi seharusnya bukan sekadar lekapan fizikal tetapi sebaliknya harus menjadi satu tindakan untuk memupuk maruah, kepada kedua-dua tahanan dan pihak berkuasa.

“Ia sama sekali bukan untuk melemahkan atau mematahkan semangat polis dan pegawai imigresen, tetapi untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, keadilan dan hak asasi manusia.

“Paling penting, ia adalah langkah pencegahan terhadap sebarang bentuk kezaliman dan keganasan di lokap kita, pusat tahanan dan juga kenderaan polis serta imigresen,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai kelulusan kerajaan terhadap peruntukan RM30 juta bagi perolehan kamera badan anggota polis. Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pada Selasa pemerolehan sedang dijalankan.

Kasthuri mempersoalkan berapa banyak lagi kes serangan seksual, kezaliman polis dan kematian tahanan mesti dilaporkan sebelum langkah serius diambil untuk membendungnya.

Beliau berkata, penggunaan di setiap lokap, penjara, pusat tahanan dan kenderaan polis serta imigresen juga akan memastikan sebarang tuntutan atau dakwaan tidak berasas berjaya dicabar di mahkamah sama ada oleh mangsa atau pelaku.

“Namun, infrastruktur dan teknologi dunia pertama mesti disertakan dengan perubahan dan pembaharuan dalam pendekatan, budaya, amalan dan minda oleh pegawai penguat kuasa kita.

“Saya yakin kita akan mencapainya memandangkan jumlah kemahuan politik yang betul dilaksanakan oleh eksekutif, polis dan imigresen.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.