Lantikan politik dalam GLC, GLIC ditamat?

Lantikan politik dalam GLC, GLIC ditamat?

Dilaporkan ada pekeliling ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali yang mana Jemaah Menteri bersetuju menamatkan kontrak semua lantikan politik, semalam.

Ismail Sabri Yaakob membuat 234 lantikan politik dari Ogos hingga September tahun ini. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Nasib lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menjadi tanda tanya susulan pekeliling bocor mengenai pemecatan mereka.

Pekeliling disiarkan di media sosial itu konon ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali, yang ditujukan kepada ketua setiausaha setiap kementerian.

Dokumen itu menyatakan bahawa Jemaah Menteri bersetuju menamatkan serta-merta kontrak lantikan politik sebagai pengerusi atau ahli lembaga badan berkanun persekutuan, syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), GLC dan GLIC.

Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semalam, menurut pekeliling itu.

FMT telah menghubungi kerajaan untuk pengesahan mengenai kesahihan pekeliling itu.

Muhyiddin Yassin dan penggantinya Ismail Sabri Yaakob telah membuat banyak lantikan politik selepas mereka dilantik ke jawatan itu.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menegaskan Ismail membuat 234 lantikan politik dari Ogos 2021 hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, 119 adalah lantikan baharu, manakala 115 lagi dikekalkan daripada pentadbiran terdahulu yang diketuai oleh Muhyiddin, kata badan pemikir itu pada Oktober.

Umno mendominasi bilangan ahli politik yang dikekalkan dalam badan berkanun persekutuan dengan 52 lantikan, manakala Bersatu mempunyai 28 lantikan dan PAS 11.

Lebih separuh daripada pelantikan baharu adalah daripada Umno (61), diikuti Bersatu (19), Parti Bangsa Malaysia (15), PAS (tujuh) dan MCA (lima).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.