
Derek Fernandez berkata, jika dibuktikan pengusaha tidak mempunyai permit dan cuai, mereka boleh berdepan mana-mana tindakan jenayah yang mungkin diambil pihak berkuasa, selain dipertanggungjawabkan ke atas mangsa menerusi ganti rugi punitif dan ganti rugi am.
Ini kerana kecuaian mungkin berlaku kerana menjalankan aktiviti secara haram.
Memetik laporan Sinar Harian semalam, keluarga dua beradik yang cedera mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengusaha.
“Pertama, punca kepada masalah mesti dikenal pasti. Adakah ia masalah mekanikal atau kurangnya pengawasan? Apabila terbukti dan memang didapati pengusaha gagal mengambil pendekatan keselamatan munasabah atau menyelenggara permainan, mereka sewajarnya bertanggungjawab dan mesti membayar pampasan kepada keluarga terbabit,” katanya kepada FMT.
“Jika terbukti mereka menjalankan operasi tanpa lesen, ia adalah satu kesalahan dan mereka juga perlu membayar ganti rugi.
“Berdasarkan laporan berita, mereka (keluarga mangsa) kelihatan mempunyai kes terhadap pengusaha. Pengusaha mungkin berdepan tindakan berganda,” katanya sambil berharap pihak berkuasa membantu keluarga mangsa dalam kes mereka.
Pada Isnin, dua wanita dan seorang kanak-kanak cedera selepas terjatuh selepas menaiki “sotong ride”. Kejadian itu tular di media sosial.
Menurut laporan, Ketua Polis Kuala Selangor Ramli Kasa berkata mereka terjatuh dari permaina dikenali “sotong ride” dan dibawa ke hospital.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat, dilaporkan berkata operasi pesta ria itu tidak mendapat kebenaran polis serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), selain notis kompaun sudah diserahkan kepada pengusaha.
Dalam pada itu, aktivis sosial, Lee Lam Thye berkata, beliau terkejut pesta ria itu beroperasi secara haram dan menggesa siasatan dibuat membabitkan pihak berkuasa tempatan dan DOSH.
Lee berkata, peralatan digunakan di pesta ria berkenaan memerlukan mekanikal rumit untuk beroperasi yang berada dalam bidang kuasa DOSH untuk dibuat penilaian dan diberikan kelulusan.
Beliau yang juga bekas pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata, DOSH sepatutnya terbabit dalam siasatan memandangkan pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai kepakaran menilai kegagalan mekanikal.
Katanya, kemalangan seumpama itu boleh dielak jika pengusaha mematuhi peraturan dan mendapat kelulusan sewajarnya.
“Ini satu lagi contoh budaya keselamatan rendah di negara ini. Kita menunggu dulu kemalangan berlaku dan kemudian baru nak ambil tindakan. Mengapa mahu biarkan dulu kemalangan terjadi sedangkan perkara itu boleh dielak?” soalnya.