
Beliau berkata, ia juga bagi menghormati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berhubung garis panduan itu supaya menjaga kesucian rumah ibadat beragama Islam daripada aktiviti parti politik.
“Pekeliling yang dikeluarkan jelas mengatakan tiada orang politik dibenarkan berucap dalam surau atau masjid, termasuk saya sendiri. Menteri Besar adalah exco agama Islam dan banyak kali saya dijemput berucap semasa menghadiri solat Jumaat, tetapi saya berpegang kepada titah Sultan Perak dengan tidak menyampaikan ucapan,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan “Selamat Pagi Cikgu Saarani” di stesen radio PerakFM di sini.
Saarani berkata, mana-mana ADUN yang merupakan pemegang tauliah atau ustaz menyampaikan kuliah sebelum ini, kini terikat dengan pekeliling itu, termasuk menteri besar atau berdepan tindakan penarikan semula tauliah mengajar daripada Jabatan Agama Islam Perak.
Semalam, bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim menerusi Facebooknya memuat naik poster kuliah Maghrib yang disampaikan seorang ADUN di sebuah masjid di Kampung Seri Klebang dan memohon tindakan sewajarnya.
Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, bajet yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri minggu hadapan antaranya menumpukan perkara berkaitan sekuriti makanan, peluang keusahawanan, perniagaan dan kebajikan rakyat, sejajar Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Selain pembangunan modal insan dan kecekapan pentadbiran kerajaan, ia juga menjurus kepada penyediaan bajet mencukupi bagi pentadbiran kerajaan berjalan lancar dan pada masa sama, aspek kebajikan rakyat diambil kira.”