PM tegur tak perlu jenama baru, fokus selesaikan masalah rakyat, kata Fahmi

PM tegur tak perlu jenama baru, fokus selesaikan masalah rakyat, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital berkata teguran itu dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepadanya kerana percaya rakyat tidak mahu mendengar perkara retorik daripada kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata banyak masalah rakyat yang menjadi tumpuan untuk diselesaikan, antaranya harga barang dan buruh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Jemaah Menteri diminta mengutamakan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat berbanding melaungkan slogan atau jenama baharu, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata teguran itu dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepadanya kerana percaya rakyat masa ini tidak mahu mendengar perkara-perkara retorik daripada kerajaan.

“Orang tak nak dengar retorik dan slogan. Malah itu teguran perdana menteri… dia kata janganlah kita ada jenama baru.

“Kita fokus untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya dalam bual bicara Naratif Khas yang disiarkan di TV1.

Dalam pada itu, Fahmi berkata banyak masalah rakyat yang menjadi tumpuan untuk diselesaikan barisan Jemaah Menteri, antaranya harga barang, buruh dan pelbagai lagi.

“Macam-macam masalah (rakyat). Jadi kita rakan-rakan dalam Jemaah Menteri (akan) usaha bersungguh-sungguh (untuk) mula selesai masalah ini.

“(Ini dengan cara) memahami kekangan sama ada kekangan fiskal, undang-undang dan apa-apa lain kekangan,” katanya.

Tambahnya, dalam menyelesaikan masalah itu perlu kreatif dan perkara itu boleh menjadi bukti cukup untuk rakyat menilainya.

“Berikan sedikit masa. Kena faham, kalau pilih benda salah atau kalau angkat pilihan tak betul, (akan memberi) kesan kepada rakyat.

“Saya percaya fokus perdana menteri dan menteri sangat jelas dan konsisten. Kita doakan Malaysia bukan hanya dapat bersatu padu tetapi dapat maju ke depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi yakin jika diberi peluang, kerajaan perpaduan ini boleh mengatasi masalah ekonomi dan dapat selesaikan banyak masalah rakyat.

Katanya, jika berjaya, kerajaan perpaduan ini boleh dijadikan bukti dan model yang boleh berjaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.