Anwar saman Sanusi berkait dakwaan ‘perwatakan tidak bermoral’

Anwar saman Sanusi berkait dakwaan ‘perwatakan tidak bermoral’

Perdana menteri berkata kenyataan MB Kedah merosakkan reputasinya.

Sebelum ini Sanusi Md Nor berkata beliau tidak akan memohon maaf kepada Anwar Ibrahim sebaliknya ‘ingin berjumpa perdana menteri di mahkamah’.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor kerana mendakwanya “berperwatakan tidak bermoral”.

Dalam saman difailkan Tetuan S N Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di Alor Setar, Anwar menuntut ganti rugi terhadap Sanusi kerana merosakkan reputasinya.

Sanusi didakwa telah membuat kenyataan itu pada satu ceramah menjelang pilihan raya umum. Selepas itu, video ucapan berkenaan disiarkan di Facebook.

Pada 17 Nov, Anwar menghantar surat tuntutan kepada pemimpin PAS itu supaya segera menarik balik ucapan yang disifatkannya berunsur fitnah.

Bagaimanapun, sehari kemudian, Sanusi berkata beliau tidak akan memohon maaf dan bersedia berdepan Anwar di mahkamah.

Anwar juga memohon injunksi terhadap Sanusi daripada mengeluarkan, menulis, menerbitkan atau mengedarkan kenyataan yang disangkal itu yang dianggap berunsur fitnah.

Kandungan ucapan Sanusi juga dilaporkan dalam media.

Dalam pernyataan tuntutannya itu, Anwar mendakwa Sanusi membayangkan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, munafik dan bukan Islam yang baik.

Anwar menerima pengampunan diraja penuh dari Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.