
Mengambil subsidi elektrik sebagai contoh, Anwar berkata Tenaga Nasional Berhad mempunyai hampir 10 juta pengguna tetapi 10% dari angka itu – iaitu satu juta pengguna yang meliputi kumpulan konglomerat – menikmati lebih dari 50% subsidi elektrik.
“Malaysia mesti menyalurkan semula subsidi pukal yang turut memanfaatkan golongan mahakaya dan konglomerat ke arah menopang kumpulan B40, M40, dan peniaga kecil,” katanya dalam kenyataan.
“Jabatan kerajaan mesti merangka serta membangun wahana yang bersesuaian bagi melaksanakan subsidi bersasar dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan industri serta memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan kebijakan ini.”
Anwar mengumumkan sedemikian selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup hari ini.
Dalam pada itu, perdana menteri memaklumkan kaedah campurtangan di peringkat pengguna bagi menangani kekurangan bekalan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
Katanya, majlis telah membincangkan perkara itu dengan panjang lebar dan beberapa ikhtiar telah disyorkan.
“Jemaah Menteri akan membuat keputusan esok,” katanya.