BUDI95: Penerimaan menggalakkan, lebih 10 juta rakyat nikmati manfaat

BUDI95: Penerimaan menggalakkan, lebih 10 juta rakyat nikmati manfaat

Setakat 4 petang tadi, nilai jualan RON95 mencecah RM727.7 juta, atau penggunaan 365.7 juta liter petrol pada harga subsidi RM1.99 seliter.

Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 melalui BUDI95 tunjuk penerimaan memberangsangkan daripada rakyat selepas diperkenalkan pada 27 Sept lepas, menurut Kementerian Kewangan.
KUALA LUMPUR:
Lebih 10 juta warganegara daripada 16 juta yang layak telah menikmati subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 setakat 4 petang tadi, mencatat kadar penyertaan 62.5%

Kementerian Kewangan memaklumkan, jumlah itu melibatkan nilai jualan sebanyak RM727.7 juta atau penggunaan sebanyak 365.7 juta liter petrol pada harga subsidi RM1.99 seliter.

“Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 menunjukkan penerimaan memberangsangkan daripada rakyat selepas diperkenalkan pada 27 Sept lepas,” kata kementerian dalam kenyataan.

Menurut kementerian, sejak pelaksanaannya pada 27 Sept bagi anggota polis dan tentera, diikuti dengan penerima Sumbangan Tunai Rahmah sehari kemudian dan kepada seluruh rakyat Malaysia yang layak pada 30 Sept, transaksi BUDI95 menunjukkan peningkatan yang positif dan memuncak ketika hujung minggu, kepada lebih tiga juta transaksi sehari.

“Ini menunjukkan bahawa rakyat bersedia menerima pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan secara telus, efisien dan memberikan manfaat nyata.

“Ia juga membuktikan keberkesanan sistem digital pengesahan MyKad di stesen minyak yang berjalan lancar serta stabil,” menurut kenyataan itu.

Kementerian menegaskan kerajaan Madani kekal komited memastikan subsidi bersasar ini terus dilaksanakan dengan lancar, telus dan memberikan manfaat langsung kepada rakyat dan pemantauan serta penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa bersama dengan agensi berkaitan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi portal rasmi BUDI MADANI yang turut menyediakan ciri semakan rekod transaksi melalui MyDigital ID bagi menjamin keselamatan data peribadi pengguna ataupun menghubungi talian bantuan 1-300-88-9595 atau WhatsApp +603-2631 4595.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.