
Setiausaha polis, Noorsiah Saaduddin, berkata bagi tempoh sama, seramai 28,710 individu ditahan kerana disyaki terlibat pelbagai kesalahan dadah di seluruh negara dalam ‘Op Tapis Khas 1 hingga 7’.
Katanya, daripada jumlah itu, 16,433 adalah penagih dadah, tokan (4,498), lain-lain kesalahan (3,144), Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 (2,102), orang yang dikehendaki (1,685) dan Langkah-langkah Pencegahan Khas (848).
“Selain itu, polis juga mengambil tindakan Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM612,563,” katanya menurut Bernama.
Noorsiah berkata, pecahan aset yang disita melibatkan wang tunai bernilai RM32,663, barangan kemas RM49,600 dan kenderaan bernilai RM530,300.
Menurutnya, objektif operasi khas itu antaranya untuk mengesan dan menangkap tokan-tokan dadah di “hotspot” yang dikenal pasti, memusnahkan sarang penagihan dadah, mengambil tindakan ke atas penagih tegar, mengesan dan menangkap orang dikehendaki atas kesalahan dadah.
“PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus berusaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Selain itu, PDRM berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.