Akses tanpa kebenaran punca data AirAsia digodam, kata Fahmi

Akses tanpa kebenaran punca data AirAsia digodam, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital berkata, ia menyebabkan serangan perisian tebusan.

Fahmi Fadzil berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan impak serangan siber itu. (Gambar Air Asia)
PETALING JAYA:
Siasatan awal ke atas kebocoran data penumpang AirAsia menunjukkan ia berpunca daripada akses tanpa kebenaran yang menyebabkan serangan perisian tebusan (ransomware), kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Bulan lalu, data peribadi lima juta penumpang dan semua kakitangan AirAsia dilaporkan terjejas, selepas kumpulan penggodam Daixin mengaku menggodam sistem pelayan syarikat itu dan melakukan serangan perisian tebusan yang didakwa berlaku pada 11 dan 12 Nov lalu.

Fahmi berkata, pasukan penyiasatan kementeriannya yang terdiri daripada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) memulakan siasatan dengan pengurusan Capital A yang merupakan syarikat induk AirAsia pada 1 Dis lalu.

“Capital A telah diarah mengemukakan dokumen keterangan berserta bukti data berkomputer yang berkaitan siasatan kes ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan impak keseluruhan serangan siber itu.

“Bagaimanapun, perincian berhubung kes tidak dapat didedahkan kepada umum buat masa ini, sementara siasatan masih dijalankan bagi mengelakkan implikasi perundangan serta mengganggu siasatan.”

Menurut DataBreaches.com – laman sesawang yang khusus dalam melaporkan pelanggaran data di seluruh dunia – kumpulan penggodam itu memberi dua fail mengandungi sampel maklumat sensitif penumpang dan kakitangan syarikat penerbangan terbabit, yang Daixin dakwa turut diberikan kepada AirAsia.

DataBreaches.com – memetik jurucakap Daixin – dalam laporan mereka menyatakan AirAsia bertindak balas terhadap serangan itu dan berunding dengan kumpulan penggodam berkenaan, tetapi selepas menerima sampel data itu, mereka tidak lagi cuba berunding jumlah wang tebusan, menunjukkan AirAsia tidak berhasrat membayar penggodam.

Tiada pengesahan berhubung jumlah tebusan dituntut kumpulan penggodam itu atau jika AirAsia membayar wang tebusan untuk mendapatkan kunci penyahsulitan dan pemadaman data dicuri, dilaporkan setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.