Ramasamy nafi rasuah sebagai pengerusi Lembaga Wakaf Hindu P Pinang

Ramasamy nafi rasuah sebagai pengerusi Lembaga Wakaf Hindu P Pinang

P Ramasamy berkata laporan dibuat terhadapnya adalah palsu dan bersifat balas dendam.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy (duduk, dua dari kiri) pada sidang media di Komtar.
GEORGE TOWN:
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy menafikan dakwaan beliau terbabit dalam amalan rasuah sebagai pengerusi Lembaga Wakaf Hindu negeri (PHEB).

Pengarah Eksekutif PHEB, M Ramachandran dalam laporan polis pada 7 Nov lalu mendakwa Ramasamy menyalahgunakan kuasa dan melakukan pecah amanah dalam menguruskan dana lembaga itu sejak 2018.

Ramasamy berkata, laporan dibuat Ramachandran palsu dan bersifat balas dendam selepas beliau berdepan siasatan dalaman, yang bermula Oktober lalu, atas dakwaan sebuah projek PHEB diberikan secara terus kepada menantunya dan dakwaan lain berhubung pelanggaran etika.

“Disebabkan Ramachandran berkhidmat lama dengan lembaga ini, kami menawarkan pakej persaraan kepadanya. Tetapi, beliau membuat laporan dengan dakwaan palsu (mengenai saya).

“Kami segera keluarkan arahan penggantungan terhadap Ramachandran dan (kami) iringi beliau keluar dari pejabatnya pagi ini,” katanya di Komtar.

Beliau berkata, panel juruaudit bebas sedang menyiasat dakwaan pelanggaran Ramachandran, yang mungkin membawa kepada perkhidmatannya ditamatkan.

Katanya, laporan polis turut dibuat terhadap Ramachandran dan wartawan Athi Shankar, yang menerbitkan semula dakwaan Ramachandran di Facebook.

Timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, beliau turut mempertimbangkan saman fitnah terhadap kedua-duanya.

Ramasamy berkata, PHEB menerima audit bersih daripada Jabatan Audit Negara tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya.

“Kami memperoleh aset mencecah jutaan ringgit. Kami dicemburui ramai kerana mengubah lembaga yang hanya mempunyai baki akaun bank sebanyak RM3,000 ketika Barisan Nasional mentadbir negeri ini (sebelum 2008), kepada keadaan hari ini.”

Ramachandran ketika dihubungi berkata, beliau terkejut dengan penggantungan itu dan sedang mendapatkan nasihat peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.