Projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion diteliti semula, kata PM

Projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion diteliti semula, kata PM

Anwar Ibrahim berkata projek melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan.

Pada Mac lalu, kerajaan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tambahan RM15 bilion untuk projek tebatan banjir antara 2023 dan 2030. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula.

Beliau berkata, kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Jumlah ini bukan kecil…atas alasan umpamanya membantu menyegerakan langkah tebatan banjir tetapi ada masalah apabila peraturan tidak dipatuhi dan ada upaya mencari kesempatan.

“Ini amat dikesalkan dan saya berterima kasih kerana pegawai kanan Kementerian (Kewangan) bersama dan tidak selari dengan maksud ini, tetapi pada ketika itu (hanya) mengikut arahan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat sejurus memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan di sini.

Katanya, keputusan meluluskannya secara rundingan terus itu dibuat dengan alasan kononnya untuk menyelesaikan masalah tebatan banjir.

Namun begitu, beliau berkata, tindakan itu akan menimbulkan masalah apabila ia tidak mematuhi peraturan dan membuka ruang untuk pihak tertentu mengambil kesempatan.

“Saya ingin jelaskan saya nak tumpu perhatian mengurus negara, memacu ekonomi dan memberi kebajikan kepada rakyat.

“Tetapi pada masa sama, kita terpaksa lihat kalau boleh dihentikan 7 bilion (ini)… (kita) hentikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.