Kerana Anwar, peluang saya menang cerah, kata calon PN

Kerana Anwar, peluang saya menang cerah, kata calon PN

Azman Nasrudin berkata, keputusan perdana menteri melantik Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Zafrul Aziz menyebabkan PH ditolak pengundi.

Azman Nasrudin (kanan) bersama petugas parti di bilik gerakan PN di Sg Seluang.
KULIM:
Bekas ahli PKR, Azman Nasrudin kini lebih tenang selepas lebih lima minggu berkempen sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya Padang Serai.

Bekas guru Bahasa Melayu selama 18 tahun dan kini Exco Kedah untuk hal ehwal India berkata, beliau boleh menarik nafas lega menjelang hari pengundian esok disebabkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Azman mendakwa keputusan Anwar melantik Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri dan beberapa “watak yang boleh dipertikaikan” dalam Jemaah Menterinya menyebabkan Pakatan Harapan (PH) ditolak pengundi.

Katanya, ketika meraih undi di kawasan yang dianggap kubu kuat Umno, beliau mendapati pengundi marah dengan pelantikan Zahid yang berdepan 47 pertuduhan rasuah di mahkamah.

“Mereka kecewa dengan barisan Jemaah Menteri Anwar, termasuk Zahid dan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Tengku Zafrul Aziz. Saya melawat tujuh hingga lapan kampung dan ini yang saya dengar. Mereka akan mengundi PN sebagai tanda protes.

“Jika pilihan raya diadakan 19 Nov lalu, saya boleh katakan akan dapat 70% undi Melayu. Tetapi kini, saya yakin boleh dapat lebih 80% sokongan, terima kasih kepada Anwar. Ini hikmah Allah apabila pilihan raya ditangguhkan,” katanya kepada FMT.

Azman berkata, sentimen itu turut dialami pengundi bukan Melayu, di mana penyokong PH kecewa kerana gabungan itu melanggar janji untuk tidak bekerjasama dengan mereka yang didakwa di mahkamah akibat rasuah. Hampir 1/3 daripada 133,867 pengundi di sini golongan bukan Melayu.

“Nampaknya peluang tipis untuk Sofee Razak (calon PH) menang dan peluang cerah untuk saya kerana gelombang biru PN atau tsunami Melayu semakin meningkat susulan keputusan Anwar.

“Pengundi muda akan memilih PN kerana gabungan ini tiada masalah rasuah. Mereka nampak bagaimana PH memerintah selama 22 bulan dan BN selama 60 tahun, serta mereka tidak sanggup lagi.”

Katanya, dakwaan beliau ditolak pengundi kerana keluar PKR dan menyertai Bersatu tidak mungkin berlaku kerana “PKR sudah hilang arah”.

“Saya keluar kerana Anwar menjadi diktator,” kata ADUN Lunas itu yang memenangi kerusi negeri itu atas tiket PKR.

“Sebaik saja dia dibebaskan dari penjara, dia beritahu kami dalam sebuah majlis makan makan: ‘Sekiranya kamu tidak bersama saya, kamu boleh keluar!’.

“Pada majlis makan malam itu, saya nampak parti itu menjadi kelab peminat (Anwar) berbanding berjuang untuk kepentingan rakyat, jadi saya memutuskan untuk keluar.”

Katanya, prestasi cemerlang PN pada pilihan raya umum ke-15 dengan memenangi 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah disebabkan kepimpinan Menteri Besarnya, Sanusi Md Nor.

“Dengan Parlimen Merbok yang berjiran dengan Padang Serai dimenangi PN, saya yakin akan menang di kerusi ini, insya Allah.”

Selain Azman dan Sofee, dua lagi calon ialah Hamzah Abdul Rahman (Pejuang) dan Ananda AK (bebas) juga akan berentap esok. Calon BN, C Sivaraj dan Bakri Hashim (Warisan) menarik diri bagi memberi laluan kepada calon PH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.