Menteri setuju potong gaji 20%, kata Anwar

Menteri setuju potong gaji 20%, kata Anwar

Perdana menteri berkata, kadar gaji itu akan disemak semula selepas ekonomi negara kembali pulih.

Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pertamanya hari ini. Turut hadir dua timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Fadillah Yusof (kanan). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri bersetuju memotong gaji bulanan mereka sebanyak 20%, kata Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri pertamanya, perdana menteri berkata, dasar itu akan disemak semula selepas ekonomi negara kembali pulih.

Katanya, ini menunjukkan kerajaan perpaduan pimpinannya cakna dengan permasalahan rakyat.

“(Potong gaji) sehingga ekonomi pulih, mungkin tiga tahun kita akan kaji semula. Potong gaji ini memang tidak wajar, tetapi saya berterima kasih terhadap kesediaan mereka (menteri) melakukan sedikit pengorbanan.

“Ada orang kata Anwar tak ambil gaji perdana menteri, dia ambil gaji menteri kewangan…tak betul, gaji ini satu saja,” katanya yang bertegas tidak akan menerima sebarang gaji.

Selepas melihat kesusahan dihadapi rakyat, Anwar dalam kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu berjanji tidak akan mengambil gaji sebagai perdana menteri, jika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu.

Ketua Penerangan PH dan PKR, Fahmi Fadzil turut berjanji tidak akan mengambil gaji sekiranya gabungan itu menang PRU15. Beliau dilantik menteri komunikasi digital di bawah Jemaah Menteri kerajaan perpaduan.

Kritikan terhadap kerajaan perpaduan

Anwar berkata, terdapat perbezaan antara mengkritik Putrajaya dan mengkritik Yang di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu.

Oleh itu, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat sebarang usaha mencetuskan sentimen perkauman dan pelampau agama.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu akan mengumumkan beberapa langkah penting esok bagi menangani kekurangan telur ayam.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan harga telur ayam, kebergantungan industri kepada kartel dan memastikan bekalan mencukupi dalam pasaran.

Katanya, beliau menemui taikun Syed Mokhtar al-Bukhary baru-baru ini dan membincangkan monopoli import beras ke Malaysia.

“Untuk berlaku adil, kita harus tahu kebenaran import bukan konsesi dan bukan dianugerahkan kepada beliau, tetapi dianugerah kepada syarikat Bernas (Padiberas Nasional Bhd) yang ketika itu dipunyai Tan Boon Seng dan Shahidan Kassim.

Katanya, Syed Mokhtar kemudiannya memperoleh RM800 juta saham milik Tan dan RM400 juta lagi daripada Shahidan.

Beliau memberi jaminan kerajaannya tidak akan mengizinkan pembolotan kekayaan oleh tokoh politik dengan mudah dan “menghisap darah” pesawah padi miskin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.