
Menteri sumber manusia itu juga berkata, masalah disiplin bukan suatu alasan untuk memotong gaji pekerja
“Saya sudah tegaskan bahawa majikan tidak boleh sewenang-wenangnya memotong gaji seorang pekerja mengikut Seksyen 24 Akta Kerja kecuali potongan yang dibenarkan seperti KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja), Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan cukai pendapatan.
“Selain itu, majikan yang syarikat kecil atau besar tidak boleh potong gaji jika ada masalah disiplin. Tindakan (disiplin) mesti melalui proses inkuiri dalaman sesebuah syarikat,” katanya pada Program Kesuma Madani Tahun Baharu Cina peringkat Kementerian Sumber Manusia.
Menurut Seksyen 24 Akta kerja, majikan tidak boleh memotong gaji seseorang pekerja, kecuali untuk perkara yang terkandung dalam akta berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengambil maklum tindakan sesetengah individu yang mengadu mengenai pemotongan gaji di media sosial.
Sim menyeru agar individu-individu berkenaan membuat aduan rasmi menerusi pelbagai saluran yang disediakan untuk tindakan lanjut pihak kementerian dan agensi berkaitan seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
“Saya tahu netizen berniat baik, naikkan di media sosial, tapi ini membabitkan undang-undang, jadi kita perlukan laporan rasmi.
“JTK akan mengambil tindakan susulan selepas laporan dibuat. Tetapi kita juga akan terjah, turun dan lihat sendiri,” katanya, lapor Bernama.
Baru-baru ini tular di media sosial dakwaan bahawa restoran yang mempunyai beberapa cawangan mengenakan denda bagi cuti sakit dan hukuman lain kepada kakitangan atas pelanggaran tingkah laku, termasuk menolak gaji.