Lelaki ditahan ugut guna pisau lipat, pedang

Lelaki ditahan ugut guna pisau lipat, pedang

Polis berkata, suspek mengacukan pisau lipat dan pedang ke arah seorang lelaki dan ibu angkatnya.

Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Taman Melawati.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes menyerang seorang penghantar makanan dan ibu angkatnya dengan pisau lipat serta pedang pada 25 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Taman Melawati di sini, pada 1.30 tengah hari semalam.

“Dalam kejadian 8.30 malam itu, penghantar makanan berusia 22 tahun dan ibu angkatnya didekati suspek yang menaiki Proton Exora sewaktu berada di sebuah stesen minyak di Taman Melawati.

“Suspek kemudian mengacu sebilah pisau lipat dan pedang berukuran 52cm ke arah mangsa dan ibu angkat mangsa,” katanya dalam kenyataa.

Beliau berkata, suspek juga mengugut akan mengelar leher wanita berkenaan, bagaimanapun penghantar makanan dan ibu angkatnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada salah faham mengenai harga penjualan minuman antara mangsa dan suspek.

“Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan permohonan reman ke atasnya dibuat hari ini di Mahkamah Ampang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.