Benarkan pasaran bebas untuk telur, kata ahli ekonomi

Benarkan pasaran bebas untuk telur, kata ahli ekonomi

CEO Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito menggesa pemansuhan harga siling dan import telur dibenarkan.

Di Semenanjung, harga siling bagi telur Gred A ialah 45 sen; 43 sen bagi telur Gred B; dan 41 sen bagi telur Gred C. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa untuk tidak terlibat dalam industri penternakan, mendesak ke arah perdagangan bebas dan menggalakkan import telur.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito, berkata, kerajaan perlu menghapuskan semua sekatan di bahagian bekalan.

“Penutupan (disebabkan Covid-19) mencetuskan kejutan dalam permintaan dan bekalan, (dan) apabila permintaan meningkat awal tahun ini, pembekal bergelut (untuk memenuhinya) disebabkan ketidaktentuan dasar, kekurangan buruh dan kos bahan mentah yang tinggi,” katanya kepada FMT.

Ferlito berkata, pengenalan harga siling menyentap pembekal yang sudah pun terbeban cuba memenuhi permintaan bekalan telur.

Beliau menyokong gesaan pengusaha pasar raya yang mahu kerajaan memansuhkan harga siling telur, dikenal pasti sebagai punca kekurangan semasa bekalan dalam pasaran.

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin mengeluarkan amaran mengenai kekurangan telur di pasaran, dengan berkata tindakan segera diperlukan untuk menyelesaikan isu itu.

Beliau khuatir negara kesuntukan masa, katanya, untuk menyelesaikan masalah kekurangan telur memandangkan sambutan Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya semakin hampir.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) Beninder Johl berkata, kerajaan perlu mengenakan larangan sepenuhnya terhadap eksport telur kerana menurutnya, ini akan membantu menstabilkan bekalan.

“Kami ada menerima aduan tentang kekurangan telur di pasaran tetapi bukan langsung tiada,” katanya.

“Malaysia harus belajar daripada India yang mengenakan larangan eksport semasa bekalan bawang berkurangan.”

Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia Jeffrey Ng berkata, pengeluar telah dapat memenuhi permintaan dengan secukupnya.

Paling tidak, katanya, sebarang kekurangan hanya terhad kepada beberapa kawasan.

Ng berkata, ramai orang membeli telur lebih daripada yang mereka perlukan dalam jangka masa segera berikutan timbulnya khabar angin mengenai kekurangan bekalan.

Katanya, kenaikan harga dedak meningkatkan kos pengeluaran, tetapi harga runcit mempunyai had. Akibatnya, penternak mengalami kerugian.

Dalam jangka masa lebih panjang, ramai penternak mungkin gulung tikar dan ini akan menyebabkan jurang dalam bekalan.

Di Semenanjung, harga siling bagi telur Gred A ialah 45 sen; 43 sen bagi telur Gred B; dan 41 sen bagi telur Gred C.

Di Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan pula, harga siling berbeza mengikut zon dan daerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.