Bekalan telur stabil, pengeluaran lebihi permintaan

Bekalan telur stabil, pengeluaran lebihi permintaan

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata pihak industri akan menyemak dan menyelaras harga jualan di pasaran terbuka berpandukan data pengeluaran semasa.

telur supermarket
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata tinjauan mendapati bekalan telur gred A, B dan C boleh didapat di pasar raya, manakala bekalan telur gred khas dengan harga mampu milik turut tersedia dalam kuantiti munasabah.
PUTRAJAYA:
Data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan bekalan telur ayam di pasaran kekal mencukupi dan stabil, malah pengeluaran tempatan kini melebihi permintaan domestik.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan susulan penstrukturan semula subsidi telur berkuat kuasa 1 Ogos lalu, pihak industri dari semasa ke semasa akan menyemak dan menyelaras harga jualan di pasaran terbuka berpandukan data pengeluaran semasa.

“Proses pelarasan harga ini sebahagian daripada mekanisme pasaran terbuka, namun tidak menjejaskan jaminan bekalan telur untuk pengguna,” katanya dalam kenyataan.

KPKM memaklumkan tinjauan mendapati bekalan telur gred A, B dan C masih stabil serta boleh dibeli di pasar raya, manakala bekalan telur gred khas dengan harga mampu milik turut tersedia dalam kuantiti munasabah.

“KPKM juga akan meneruskan pemantauan terhadap data pengeluaran telur, termasuk meneruskan inisiatif Jualan Agro Madani bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula sentiasa menjalankan pemantauan harga dan tindakan tegas akan diambil bawah undang-undang sedia ada, sekiranya berlaku sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi serta kenaikan harga tidak munasabah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.