Bajet 2023 ditambah baik, sebahagian besar kekal, kata PM

Bajet 2023 ditambah baik, sebahagian besar kekal, kata PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau memberi ruang kepada Kementerian Kewangan serta Jemaah Menteri bagi menambah baik Bajet 2023 sedia ada.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebahagian besar daripada belanjawan itu boleh diterima. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bajet 2023 akan diteliti semula dan diubah suai dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kewangan serta Jemaah Menteri kerajaan perpaduan yang baharu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau akan memberi ruang kepada Kementerian Kewangan serta Jemaah Menteri bagi menambah baik Bajet 2023 yang sedia ada.

“Saya fikir sebahagian besar (daripada belanjawan itu) boleh diterima walaupun ramai yang membuat andaian bahawa saya akan menentang semua cadangan tersebut.

“Cadangan yang baik kita boleh teruskan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Pada masa sama, Anwar menegaskan beliau akan menumpukan usaha untuk menguruskan ekonomi negara dan membina keyakinan pelabur.

“Banyak syarikat pelaburan dari India, China, Eropah serta Amerika Syarikat telah meminta temu janji untuk minggu akan datang, dan saya akan menumpukan pada menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Terdahulu hari ini, Anwar telah mempengerusikan mesyuarat khas Jemaah Menteri yang pertama di Perdana Putra selepas pengumuman barisan Jemaah Menteri baharu yang dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri pada minggu lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.