Tok Mat daripada menteri besar ke menteri pertahanan

Tok Mat daripada menteri besar ke menteri pertahanan

Mohamad Hasan buat julung kalinya menyertai barisan kepimpinan tertinggi di peringkat Persekutuan selepas hampir 20 tahun menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

Mohamad Hasan bersama isterinya, Raja Salbiah Tunku Nujumuddin ketika hari pengundian pada bulan lalu. Beliau bertanding di Parlimen buat kali pertama dan dilantik sebagai menteri pertahanan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pelantikan Mohamad Hasan sebagai menteri pertahanan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, merupakan lonjakan baharu bagi kariernya dalam memperkukuhkan keselamatan negara.

Buat julung kalinya menyertai barisan kepimpinan tertinggi di peringkat Persekutuan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ mempunyai kewibawaan tersendiri, untuk menerajui portfolio baharu itu sepanjang 25 tahun kariernya sebagai ahli politik.

Tokoh korporat itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang ekonomi, telah membuktikan keupayaanya dengan pembangunan serta kecemerlangan ketika mentadbir kerajaan Negeri Sembilan sebagai menteri besar selama hampir 20 tahun sejak 2004.

Mohamad, 66, juga memiliki keperibadian yang tegas dan dilihat cukup penting dalam mendepani pelbagai cabaran keselamatan era moden ini serta ancaman Covid-19, meskipun negara telah beralih ke fasa peralihan endemik.

Antara pencapaian membanggakan Mohamad ialah pembangunan di Sendayan dengan terbinanya Pangkalan Udara (PU) Sendayan, di kawasan seluas 303.5 hektar yang menempatkan markas dan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 2018.

Beliau juga bukan asing dalam arena politik negara, malah kelantangan beliau dalam memberikan pendapat berkaitan pembangunan negara, didengari pemimpin serta rakyat keseluruhannya.

Timbalan presiden Umno itu juga, membuat penampilan pertama bertanding di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, turut meraih kemenangan selesa dengan majoriti 19,897 undi di Parlimen Rembau, meskipun berdepan saingan lima penjuru.

Berasal daripada Kampung Kundur Hilir, Rantau, Mohamad mempunyai seorang anak lelaki dan empat perempuan hasil perkahwinannya dengan Raja Salbiah Tunku Nujumuddin.

Bersandarkan potensi dan pengalaman luas dalam sektor kewangan dan perbankan, Mohamad pernah menjawat jawatan tertinggi dalam organisasi ternama seperti memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, Cold Storage (M) Berhad.

Beliau turut diberi kepercayaan dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Fima Berhad pada 2003 dan Penasihat Mercedes Benz Asia Pte Ltd bagi rantau Asia Tenggara, selain pernah memegang jawatan Pengarah Urusan, Cycle & Carriage Bintang Bhd pada 1994.

Pengalaman luas dalam bidang korporat itu juga bertepatan dengan lantikan beliau dalam barisan Jemaah Menteri baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.