
Gesaan oleh kumpulan reformasi pilihan raya itu dibuat susulan Anwar melantik dirinya sebagai menteri kewangan dan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.
Zahid, yang juga presiden Umno, didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram.
Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata, pelantikan yang “dipersoalkan” ini mengancam komitmen Anwar untuk melawan rasuah.
Beliau mencadangkan tiga tindakan bagi menghapuskan sebarang keraguan berhubung campur tangan dalam kes mahkamah.
“Pertamanya, mereka mesti menjadikan peguam cara negara mengambil peranan pendakwa raya dengan segera sehingga pindaan perlembagaan dibuat untuk memisahkan peranan tersebut daripada peguam negara,” katanya dalam kenyataan.
Fann turut menggesa pembangkang, penyokong kerajaan dan jawatankuasa pilihan Parlimen diberi peranan yang lebih bermakna bagi memastikan kestabilan politik.
“Kumpulan ini harus diberi gaji yang setimpal dan sokongan untuk kajian polisi, termasuk akses kepada maklumat kerajaan,” katanya.
Tambahnya, ini boleh dipertingkatkan lagi melalui penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen baharu dan penubuhan Pejabat Belanjawan Parlimen.
Beliau turut menggesa pembaharuan dalam pelantikan dan pemecatan pegawai awam utama seperti ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), serta pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Proses ini perlu dibebaskan daripada eksekutif dan dimasukkan peranan Parlimen, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang lain yang lebih bermakna,” katanya.
Bagaimanapun, Fann mengalu-alukan pelantikan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) dan berharap beliau akan memacu reformasi yang dijanjikan dalam kedua-dua manifesto Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).