
Loke berkata, parti itu juga telah menyatakan hasrat untuk memastikan kepentingan negara melebihi kepentingan parti bagi menyokong Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.
“Pada 22 Nov sebelum Anwar Ibrahim pergi ke Istana Negara, saya menyatakan kepadanya selagi anda boleh menjadi PM, DAP sanggup berkorban apa sahaja. Itu komitmen saya,” kata Loke pada sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.
Beliau berkata, semua Ahli Parlimen dan kepimpinan utama DAP telah menyatakan komitmen mereka bagi menyokong pentadbiran perdana menteri tanpa meletakkan sebarang syarat.
Kat Ahli Parlimen Seremban itu lagi, objektif DAP dalam kerajaan perpaduan ini adalah memastikan pentadbiran perdana menteri berjaya.
“Jika Anwar Ibrahim berjaya, maka Malaysia akan berjaya,” katanya yang menambah DAP akan berusaha bersungguh-sungguh bagi membuktikan bahawa parti itu ikhlas menjayakan kerajaan perpaduan.
Semalam, Anwar mengumumkan barisan 28 Jemaah Menteri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan lain-lain parti.
Empat Ahli Parlimen daripada DAP diumumkan sebagai ahli Jemaah Menteri.
Loke sekali lagi dipilih sebagai menteri pengangkutan, manakala Nga Kor Ming, V Sivakumar dan Hannah Yeoh masing-masing dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan, menteri sumber manusia serta menteri belia dan sukan.