Perdagang senjata api, lelaki bebas sabitan penjara seumur hidup

Perdagang senjata api, lelaki bebas sabitan penjara seumur hidup

Mahkamah Rayuan berkata sabitan dikenakan terhadap T Jegan atas tuduhan memperdagang senjata api adalah tidak selamat.

Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara seumur hidup terhadap T Jegan yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan memperdagang senjata api.
PUTRAJAYA:
Seorang pembekal kanopi yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan sebatan kerana didapati bersalah memperdagang senjata api, boleh menarik nafas lega setelah berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu.

Hakim Kamaludin Md Said, semasa menyampaikan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata rayuan T Jegan, 36, mempunyai merit dan sabitannya tidak selamat.

Mahkamah membenarkan rayuan Jegan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah kerana memperdagang senjata api dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Kamaludin yang bersidang bersama Abu Bakar Jais dan Ahmad Nasfy Yasin meminta jurubahasa menjelaskan kepada Jegan bahawa hari ini adalah hari paling bertuah baginya (Jegan).

Jegan, yang berdiri di tempat orang salah kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada hakim.

“Jangan main pistol,” kata Kamaludin yang mengetuai panel hakim itu.

Jegan, yang dipenjarakan sejak 2015, didakwa memperdagang tiga pucuk pistol dan sepucuk revolver di hadapan sebuah rumah di Jalan Bukit Mewah di Kajang, Selangor pada 7.30 pagi, 18 Dis 2015.

Dia juga menghadapi satu lagi pertuduhan memiliki 35 peluru jenis 7.65mm dan 34 peluru jenis 9mm di tempat, masa dan hari sama.

Pada 29 Mac 2019, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas dua pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan bagi pertuduhan mengedar senjata api. Dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan kedua.

Jegan diwakili peguam Geethan Ram Vincent manakala Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang mewakili pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.