Banjir di Selangor tak seteruk tahun lalu, kata MB 

Banjir di Selangor tak seteruk tahun lalu, kata MB 

Amirudin Shari berkata kerajaan negeri membuat persiapan awal termasuk dari segi penyediaan pusat pemindahan sementara.

Banjir di Selangor pada November lalu menyebabkan seramai 633 mangsa ditempatkan ke pusat pemindahan sementara. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Banjir yang melanda Selangor pada November tidak seburuk seperti hujung tahun lalu, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata, walaupun pihaknya menjangkakan ia tidak seteruk tahun lalu, segala persiapan sudah dibuat termasuk dari segi penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita sentiasa membuat persiapan kerana telah melalui beberapa banjir besar di negeri ini. Alhamdulillah, ia tidaklah begitu parah berbanding tahun lalu, namun kita perlu berada dalam keadaan bersiap sedia untuk mengelak kejadian sama berulang.

“Saya percaya persediaan kita termasuk PPS berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi sehingga Januari nanti,” katanya kepada pemberita di Bangunan Annex, DUN Selangor.

Justeru, katanya, kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang perlu diberi tumpuan antaranya Meru, Klang, Dengkil dan Sepang.

“Kawasan ini kerap dinaiki air tapi tidak terlalu lama, hanya berlarutan antara dua hingga tiga hari. Ia tidak berpanjangan seperti tahun lalu,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan kepada mangsa 633 mangsa banjir November lalu, Amirudin menjelaskan ia masih dalam proses penelitian kerajaan negeri.

November lalu, seramai 633 banjir ditempatkan di tiga PPS selepas beberapa kawasan dinaiki air antaranya Jalan Meru 3, Persiaran Hamzah Alang, Jalan Kasban, Jalan Kenangan, Taman Daya, Jalan Khamis, Jalan Jabar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru dan Taman Setia Warisan Seksyen U6.

Beberapa lagi kawasan turut dinaiki air seperti Jalan Haji Abdul Manan, Taman Seri Puteri, dan Jalan Limau di Meru, Taman Seri Sementa, Klang Sentral, Sungai Kapar Indah, Persiaran Hamzah Alang Kapar, Bandar Puteri Klang, dan Persiaran Mokhtar Dahari berdekatan Alam Budiman, Seksyen U10.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.