2 ditahan curi, jual motosikal RM1,000 ke Thailand

2 ditahan curi, jual motosikal RM1,000 ke Thailand

Polis berkata, dua lelaki itu hanya mencuri motosikal Honda Waze Alpha yang diparkir di stesen KTM, pasar awam serta hospital di tanah besar Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San (tengah) bersama pegawainya menunjukkan peralatan digunakan untuk mencuri motosikal oleh dalam sidang media hari ini. (Gambar Bernama)
BUKIT MERTAJAM:
Geng curi motosikal tumpas selepas dua lelaki yang terlibat dalam 87 kes curi motosikal di Pulau Pinang dan Kedah, ditahan dalam dua serbuan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Tan Cheng San berkata, tangkapan itu hasil penubuhan pasukan khas Op Lejang Waze pada Ogos lepas, setelah menerima lebih 10 laporan polis berkaitan kes kecurian motosikal di kawasan parkir Stesen KTM Bukit Mertajam dan Bukit Tengah, di sini sejak Jun.

Beliau berkata, hasil risikan dan intipan yang dijalankan, polis mengesan suspek pertama berusia 46 tahun di sebuah inap desa di Padang Besar, Perlis pada 6.25 petang 23 Nov lepas, dipercayai sedang merancang untuk menyeludup motosikal dicuri ke negara jiran.

“Susulan penahanan itu, polis menahan rakannya berusia 41 tahun di stesen bas di Butterworth, di sini pada 26 Nov dan siasatan mendapati suspek berada di situ dipercayai mahu mencuri motosikal di kawasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, siasatan mendapati dua lelaki yang berasal dari Perlis itu, datang ke Pulau Pinang dan hanya mencuri motosikal Honda Waze Alpha yang diparkir di stesen KTM, pasar awam serta hospital di tanah besar negeri itu.

Tan berkata, mereka menggunakan allen key diubah suai untuk mencuri motosikal dengan mudah, sebelum kenderaan itu dibawa ke inap desa di Padang Besar, sebelum diseludup dan dijual ke negara jiran melalui orang tengah pada harga RM1,000 setiap satu.

Katanya, modus operandi mereka ialah menukar nombor plat motosikal dicuri dengan nombor pendaftaran negara jiran untuk dibawa ke sana dan kebanyakannya digunakan di ladang, dengan polis setakat ini mengenal pasti suspek (orang tengah) di negara jiran.

“Setiap kali geng itu mahu menyeludup motosikal curi ke negara jiran, mereka akan gunakan nombor plat sama saja, iaitu yang sah kerana mempunyai dokumen betul untuk dibawa ke sana dan ia juga bagi mengelak jenayah dikesan pihak berkuasa di sempadan.”

Berdasarkan siasatan, katanya, dua lelaki itu terlibat 30 kes curi motosikal di sekitar Pulau Pinang dan 57 kes di Kedah, dengan mereka dipercayai aktif menjalankan jenayah itu sejak tahun lepas sehingga mampu mengaut ribuan ringgit setiap bulan.

Polis turut merampas dua motosikal curi, peralatan untuk mencuri, pakaian dan beberapa dokumen yang digunakan untuk ke negara jiran.

Tan berkata, suspek pertama mempunyai 31 rekod lampau, manakala rakannya memiliki sembilan rekod berkaitan jenayah serta dadah. Kedua-duanya direman sehingga 4 Dis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.