Telur di Selangor cukup, tiada aktiviti sorok, kata KPDNHEP

Telur di Selangor cukup, tiada aktiviti sorok, kata KPDNHEP

Ketua Seksyen Operasi, Seksyen Penguatkuasaan KPDNHEP Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, telur ayam tiada jangka hayat panjang untuk disimpan atau disorokkan.

Hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Selangor di pasar basah serta borong mendapati bekalan telur ayam gred A, B dan C mencukupi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekalan telur ayam di Selangor mencukupi dan hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri tidak menemui sebarang kegiatan menyorok bekalan.

Ini kerana, kata Ketua Seksyen Operasi, Seksyen Penguatkuasaan KPDNHEP Selangor, Mohd Shahran Mohd Arshad, telur ayam tiada jangka hayat panjang untuk disimpan atau disorokkan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di pasar basah dan borong mendapati bekalan telur ayam gred A, B serta C mencukupi.

Menurutnya, tindakan peniaga mengehadkan lima papan telur ayam buat setiap pembeli bukan satu kesalahan.

“Cuma kita menasihatkan peniaga tidak melaksanakan pembelian bersyarat, yang mana pembeli perlu membeli barangan lain jika ingin mendapatkan barangan seperti minyak masak dan lain-lain. Ia adalah satu kesalahan.

“Kita tidak menafikan keberadaan bekalan telur ayam dalam situasi perlu diberi perhatian, namun ia terkawal dan pengguna masih boleh mendapat bekalan telur ayam walaupun terpaksa membelinya secara terhad,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai bekalan telur ayam kembali pulih di pasaran, namun dijual pada harga tinggi, selain dakwaan kewujudan kartel telur ayam memanipulasi bekalan.

Tetapi, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Azman Mohd Yusof semalam berkata, dakwaan wujud kartel menyorok bekalan telur ayam sebelum dan selepas pilihan raya umum ke-15 tidak berasas.

Beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kegiatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.