Polis Melaka tahan 7 ‘bookie’ Piala Dunia Qatar 2022

Polis Melaka tahan 7 ‘bookie’ Piala Dunia Qatar 2022

Warga tempatan berusia 30 hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan sejak 10 November lalu.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat mengenai aktiviti perjudian dalam usaha membanteras kegiatan itu, kata Ketua Polis Melaka Zainol Samah.
MELAKA:
Polis Melaka menahan tujuh lelaki warga tempatan dipercayai ejen pertaruhan judi bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 menerusi Op Soga IX sejak 10 Nov lalu hingga semalam.

Ketua Polis Melaka Zainol Samah, berkata kesemua lelaki berusia 30 hingga 46 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Melaka dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata wang tunai berjumlah RM4,416 dipercayai hasil pertaruhan aktiviti judi berkenaan selain tujuh telefon bimbit dan kertas pertaruhan turut dirampas.

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

“Polis Melaka amat komited dalam usaha membanteras aktiviti perjudian dan pertaruhan sempena musim Piala Dunia Qatar 2022 yang sedang berlangsung,” katanya, dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian di kawasan mereka dalam usaha membanteras kegiatan tersebut.

Katanya, polis Melaka turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat berkaitan perjudian bola sepak sehingga pihaknya berjaya menangkap suspek terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.