
Sebaliknya, beliau berkata, pelantikan itu boleh diberikan kepada institusi lain seperti Majlis Peguam, Persatuan Undang-undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak dan Jawatankuasa Khas Parlimen.
JAC terdiri daripada sembilan ahli, iaitu empat pentadbir tertinggi badan kehakiman yang diketuai ketua hakim negara, seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan dan empat individu terkemuka, yang dilantik perdana menteri.
“Untuk memastikan JAC bebas dalam melaksanakan tanggungjawab, saya mencadangkan agar lima ahli JAC tidak dibuat oleh perdana menteri.
“Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC akan lebih seimbang dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-260.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz mencadangkan struktur JAC turut dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada, badan-badan guaman, institusi-institusi lain yang relevan.
“Sekiranya semua ini dilaksanakan, saya yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan pelantikan hakim-hakim di Malaysia adalah dalam kalangan individu yang berkeperibadian mulia, telus dan adil,” katanya.