Tren dijangka lewat di LRT Laluan Kelana Jaya, penumpang diberitahu

Tren dijangka lewat di LRT Laluan Kelana Jaya, penumpang diberitahu

Kekerapan perkhidmatan tren di beberapa stesen antara Kerinchi dan Ampang Park akan lewat kira-kira 15 minit.

Kelewatan itu akibat masalah teknikal dihadapi sebuah tren sebelum ini, kata RapidKL.
PETALING JAYA:
Penumpang dinasihat menjangkakan kelewatan dalam kekerapan tren di beberapa stesen LRT Laluan Kelana Jaya susulan masalah teknikal dialami sebuah tren sebelum ini.

RapidKL dalam catatan Facebook berkata, kekerapan perkhidmatan tren di beberapa stesen antara Kerinchi dan Ampang Park akan lewat kira-kira 15 minit selepas sebuah tren terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan.

Katanya, tren gantian akan beroperasi sebentar lagi dan jadual perjalanan akan diselaraskan.

“Terima kasih atas kesabaran anda dan kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul,” kata RapidKL.

Pengguna Twitter @notsoaidil mempersoalkan berapa kali laluan LRT itu akan menghadapi masalah teknikal yang menyebabkan kelewatan perjalanan penumpang.

“Masalah ini berlaku semasa hujan dan waktu puncak. Selain itu, harga (e-panggilan) tidak berpatutan,” keluhnya.

Seorang lagi pengguna @syakirshukri tidak tahu sama ada beliau akan tiba tepat pada masanya untuk menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS) susulan kelewatan di laluan LRT itu.

Awal bulan ini, 16 stesen di sepanjang LRT Laluan Kelana Jaya ditutup kira-kira seminggu.

Pada 11 Nov lalu, Menteri Pengangkutan ketika itu, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, masalah itu dikenal pasti selepas modem dan peranti untuk bekalan elektrik landasan ditukar.

Tetapi, sehari selepas perkhidmatan di 16 stesen itu pulih, stesen Jelatek mula mengalami masalah yang menyebabkan kelewatan terhadap penumpang.

Stesen Jelatek bukan antara 16 stesen yang ditutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.