‘Tolak PKR, DAP’ untuk sebelum PRU15, bukan selepas, jelas Zahid

‘Tolak PKR, DAP’ untuk sebelum PRU15, bukan selepas, jelas Zahid

Kerjasama antara blok ialah pendekatan baharu yang diyakini menjadi perintis perpaduan dan keharmonian seperti diilhamkan Agong, kata presiden Umno itu.

Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Umno menolak parti yang menggunakan agama untuk berpolitik.
PETALING JAYA:
Ketetapan Umno sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu dibuat untuk berdepan PRU15, bukan selepasnya, kata Presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kerjasama antara blok ialah pendekatan baharu yang diyakini menjadi perintis perpaduan dan keharmonian seperti diilhamkan Yang di-Pertuan Agong.

“Kerjasama strategik ini tidak mengabaikan prinsip Umno. Perlu difahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan pada PRU15 dan bukannya untuk pasca pilihan raya,

“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti Umno yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti, iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

“Umno tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap sederhana dan progresif dalam menangani perubahan,” katanya di Facebook.

Beliau turut menegaskan bahawa Umno menolak parti yang menggunakan agama untuk berpolitik.

“Sebaliknya, Umno secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.