Tahniah dan selamat maju jaya, kata Dr M pada Anwar

Tahniah dan selamat maju jaya, kata Dr M pada Anwar

Bekas perdana menteri itu mengucapkan tahniah kepada bekas timbalannya dalam kenyataan ringkas di Twitter.

Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah pada 2018, Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu berulang kali menyatakan akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, mengucapkan tahniah kepada pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Dalam ciapannya di Twitter, bekas bekas pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyatakan selamat maju jaya kepada Anwar.

“Saya ucap tahniah kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-10. Selamat maju jaya,” katanya dalam ciapan itu.

Mahathir merupakan perdana menteri ketika PH memenangi pilihan raya umum ke-14, pada 2018, namun kerajaan ditadbir gabungan itu runtuh hanya dalam tempoh 22 bulan susulan Langkah Sheraton.

Walaupun Mahathir dan Anwar pernah bekerjasama sehingga membawa kepada kemenangan PH, bagaimanapun hubungan mereka “kembali suram” sejurus kejatuhan pentadbiran gabungan berkenaan.

Sebelum kejatuhan pentadbiran gabungan itu, pada Februari 2020, Mahathir berulang kali berjanji akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar yang dikatakan “perdana menteri menunggu”.

Dua gergasi politik itu saling berbalas serangan pada kempen pilihan raya umum ke-15 dengan Anwar menyalahkan Mahathir kegagalan PH ketika berkuasa.

Bagaimanapun, Mahathir memberitahu presiden PKR itu supaya berhenti meletakkan kesalahan terhadapnya kerana gagal menjadi perdana menteri.

Semalam, selepas mengangkat sumpah jawatan perdana menteri, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, berkata partinya mendoakan kerajaan pimpinan Anwar mampu mengeluarkan Malaysia daripada “lautan yang bergelora” dan memulihkan negara.

Mukhriz yang juga anak Mahathir, berharap kerajaan baharu dipimpinya akan membawa kestabilan politik negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.