
Setiausaha Negara AS Antony J Blinken yang mengucapkan tahniah kepada Anwar dan rakyat Malaysia, berkata pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menyaksikan jutaan rakyat Malaysia mengundi, kebanyakannya buat kali pertama, menjadikan pilihan raya itu lambang kuasa demokrasi.
“AS dan Malaysia sudah menjalin hubungan yang kukuh – perkongsian komprehensif – berakar umbi dalam hubungan ekonomi, keselamatan dan rakyat dengan rakyat.
“Kami komited bekerjasama dengan Malaysia untuk memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, makmur, selamat dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu menerusi Twitter, jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata, Washington berharap untuk memajukan matlamat bersama demi masa depan yang bebas dan terbuka, makmur, selamat serta berdaya tahan.
Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 semalam.