Jangan bawa, kibar bendera parti politik pada final Piala Malaysia

Jangan bawa, kibar bendera parti politik pada final Piala Malaysia

Persatuan Bolasepak Malaysia menegaskan aksi final di stadium bukan tempat untuk meraikan atau menunjukkan rasa tidak puas hati berkaitan politik.

Persatuan Bolasepak Malaysia berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap penyokong yang didapati membawa dan mengibarkan bendera parti politik di Stadium Nasional Bukit Jalil.
KUALA LUMPUR:
Penyokong dilarang membawa masuk dan mengibar bendera berunsurkan politik pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam esok.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penyokong yang berbuat demikian kerana aksi final di stadium bukanlah tempat untuk meraikan atau menunjukkan rasa tidak puas hati berkaitan politik.

“Mungkin kita masih terawang-awang dan teringatkan apa yang berlaku dalam negara ketika ini. Bendera-bendera melibatkan politik mungkin boleh buat orang di luar rasa tidak puas hati dan sebagainya.

“Jadi, jangan bawa masuk ke dalam stadium (apa-apa barangan) yang boleh cetuskan provokasi dan menggugat keamanan negara,” katanya pada sidang media keselamatan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2022.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Zam Halim Jamaluddin menjangkakan 80,000 penyokong akan membanjiri Stadium Nasional, sebaik pintu masuk dibuka 5 petang dan persiapan rapi telah dilakukan polis bagi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan selepas memasuki pekarangan stadium,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa penutupan jalan di sekitar Stadium Nasional sebelum dan selepas perlawanan, antaranya sepanjang Jalan Barat bermula dari persimpangan Taman Teknologi Malaysia (TPM) hingga Persimpangan Merah Caga.

“Penyokong dinasihat menggunakan pengangkutan awam dan yang memandu kenderaan sendiri dinasihat mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur sepanjang pemanduan,” katanya.

Selangor adalah pasukan paling berjaya dalam saingan Piala Malaysia dengan merekodkan 33 kali kejuaraan, sementara JDT pula muncul juara sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

Pada edisi lepas, JDT kempunan merangkul kejuaraan selepas tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di pentas final.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.