
Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor, berkata kerajaan baharu perlu mengambil pendekatan mesra pekerja dengan mengambil pandangan dan idea pekerja bagi merangka dasar pekerjaan negara.
“MTUC akan menyuarakan dan menyampaikan suara pekerja kepada kepimpinan kerajaan dan mengharapkan kerajaan baharu membuka pintu perbincangan segera.
“Penglibatan MTUC dalam isu-isu pekerjaan memperlihatkan kerajaan mengiktiraf peranan pekerja dalam pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Kamarul berkata, isu pekerjaan seperti berkaitan kos sara hidup tinggi, peluang pekerjaan dan gaji minima yang belum dilaksanakan sepenuhnya perlu diselesaikan secepat mungkin.
Beliau berkata, antara isu pekerjaan lain yang perlu diselesaikan segera seperti kebebasan berkesatuan, buruh paksa dan buruh kanak-kanak, syarikat tidak membayar faedah penamatan semasa penutupan syarikat dan akta-akta perburuhan.
“Rakyat telah menjalankan tanggungjawab dengan keluar mengundi dan memilih wakil rakyat yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat. Kepentingan rakyat perlu diutamakan dengan segala dasar kerajaan,” katanya.