
Gesaan mereka disampaikan menerusi Ketua Bahagian Wangsa Maju, Shafie Abdullah, yang menyeru pendesak Zahid supaya kembali mengukuhkan parti.
“Setelah bincang tadi, kita ingin nasihatkan ketua bahagian masih ragu, bimbang, syak wasangka dan fikir macam-macam, sila kembali dan kita satukan seluruh Malaysia.
“Pada kita, kita berlapang dada agar Umno bersatu kerana kita hanya menang 30 kerusi. Kalau kita tak bersatu, maka malanglah masa hadapan,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Shafie berkata, sidang media itu dihadiri 90 ketua bahagian dan 40 lagi menyuarakan sokongan mereka melalui pesanan mesej.
Gesaan untuk Zahid berundur mula timbul selepas BN memenangi hanya 30 kerusi pada pilihan raya umum ke-15.
Malah, tiga parti komponen BN, MCA, MIC dan PBRS turut mengemukakan undi tidak percaya terhadap Zahid semalam atas dakwaan beliau mengkhianati keputusan Dewan Tertinggi BN untuk berkecuali serta tidak menyokong Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan baharu.
Shafie berkata, beliau kesal dengan kenyataan parti komponen BN itu.
“Sedangkan mereka ni kita bawa, kendong dah berapa puluh tahun, kerusi-kerusi yang mereka menang adalah majoritinya Melayu dan apabila kita genting, mereka cuma berpaling tadah.”
Beliau berkata, Zahid yang turut menghadiri majlis itu mengingatkan semua pemimpin dan akar umbi Umno bersatu.
“Itu pesanan beliau dalam pertemuan ketua-ketua bahagian Umno sebentar tadi,” katanya.