Saarani umum barisan exco kerajaan BN-PH Perak

Saarani umum barisan exco kerajaan BN-PH Perak

Seramai 10 ADUN iaitu tiga dari BN dan tujuh mewakili PH mengangkat sumpah di Balai Istiadat Kecil, Istana Iskandariah, semalam.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, berkata mesyuarat Exco pertama telah diadakan pagi tadi bagi membincang dan memutuskan beberapa perkara penting. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, hari ini mengumumkan barisan Exconya, dua hari selepas dilantik menerajui kerajaan negeri pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ia menyaksikan pembentukan kerajaan perpaduan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan selepas 10 ADUN iaitu tiga dari BN dan tujuh mewakili PH, mengangkat sumpah di Balai Istiadat Kecil, Istana Iskandariah, semalam.

Saarani (BN-Umno) yang juga ADUN Kota Tampan memegang portfolio agama Islam, kewangan, keselamatan, tanah, sumber asli, perancangan ekonomi dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

ADUN Lintang yang juga bekas Exco sebelum pembubaran DUN Perak pada 17 Okt, Mohd Zolkafly Harun (BN-Umno), memegang portfolio pembangunan luar bandar, perladangan, pertanian dan industri makanan.

Manakala, ADUN Sungai Rapat, Mohamad Nizar Jamaluddin (PH-Amanah), diberi memegang portfolio infrastruktur, tenaga, air dan pengangkutan awam, ADUN Sungkai, A Sivanesan (PH-DAP) bertanggungjawab sebagai Exco sumber manusia, kesihatan dan hal ehwal masyarakat India.

ADUN Jalong, Loh Sze Yee (PH-DAP) sebagai Exco pelancongan, industri, pelaburan dan pembangunan koridor.

Portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dipegang ADUN Temengor, Salbiah Mohamed (BN-Umno), manakala ADUN Aulong Teh Kok Lim (PH-DAP) selaku Exco sains, alam sekitar dan teknologi hijau.

ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching (PH-PKR) menjadi Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan manakala ADUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah (BN-Umno) bertanggungjawab bagi portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan.

ADUN Tualang Sekah Mohd Azlan Helmi Helmi (PH-PKR) memegang portfolio komunikasi, multimedia dan NGO, manakala ADUN Pasir Bedamar Woo Kah Leong (PH-DAP) selaku Exco perdagangan dalam negeri, koperasi, hal ehwal pengguna dan kampung baru Cina.

Saarani mengumumkan senarai portfolio itu di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, mesyuarat Exco pertama diadakan pagi tadi bagi membincang dan memutuskan beberapa perkara penting.

Antara lain ialah bersetuju Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 Perak diadakan pada 19 Dis bagi pembentangan Bajet 2023 serta perbahasan mengenai enakmen peruntukan larangan ADUN melompat parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.