Jangan main api, Pemuda Umno beri amaran MCA

Jangan main api, Pemuda Umno beri amaran MCA

Ia selepas MCA menggesa Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berundur.

Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Presiden MCA, Wee Ka Siong sepatutnya meletak jawatan kerana parti itu hanya memenangi dua daripada 44 kerusi yang ditandinginya pada PRU15.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran kepada MCA tidak “bermain api” dengan cuba mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berundur.

“Dia (Presiden MCA, Wee Ka Siong) sepatutnya letak jawatan dulu sebab dia bertanding 44 kerusi, tetapi menang dua kerusi kawasan orang Melayu.

“Ia bermakna dia gagal mendapat sokongan orang Cina dan perlu mengambil tanggungjawab (letak jawatan) itu,” katanya kepada media di Menara Dato Onn.

Beliau turut mencabar Wee mendedahkan sama ada beliau antara 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Apakah dia salah seorang yang menandatangani akuan bersumpah (SD) itu? Kalau begitu, maknanya dia kena tindakan disiplin dulu, jangan bermain dengan api, sekarang kita nak pastikan semua 30 Ahli Parlimen BN betul-betul bersatu, kita kena pergi sebagai ‘en bloc’.”

Terdahulu, sumber memberitahu FMT, beberapa pemimpin komponen Umno dan BN antara 10 Ahli Parlimen gabungan itu yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-10.

“Ada seorang pemimpin Umno yang sangat lantang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan. Beliau mengetuai sembilan Ahli Parlimen lain menandatangani SD menyokong Muhyiddin. Antara mereka turut termasuk beberapa ‘nama besar’,” kata sumber.

Tetapi, 10 Ahli Parlimen itu, yang antara lain dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah, kemudiannya menarik sokongan kepada pengerusi Perikatan Nasional itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon hari ini meminta Zahid melepaskan jawatan pengerusi BN dan digantikan Timbalannya, Mohamad Hasan, selepas tular surat Zahid kepada Istana Negara berhubung 30 Ahli Parlimen BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Katanya, MCA percaya Zahid tidak lagi layak memimpin BN dan perlu meletak jawatan sebagai pengerusi kerana mendakwa surat Zahid itu menyimpang daripada keputusan Dewan Tertinggi BN semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.