PN tolak cadangan Agong, Parlimen masih tergantung

PN tolak cadangan Agong, Parlimen masih tergantung

Perikatan Nasional menolak cadangan Agong supaya gabungan itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata Agong mencadangkan supaya gabungan itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional menolak cadangan Yang di-Pertuan Agong supaya gabungan itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan perpaduan, sekali gus menyelesaikan kebuntuan Parlimen tergantung ketika ini.

“Tuanku mencadangkan kita bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan, tetapi kami telah bincang perkara itu sejak awal lagi – kami tidak akan bekerjasama dengan PH.

“Itu pendirian parti kita sejak dulu sampai ke hari ini. Atas tujuan apa sekalipun – ‘unity’ ke apa semua sekali – kita putuskan tak bersetuju,” kata pengerusinya Muhyiddin Yassin pada sidang media petang tadi.

Dalam pada itu, Muhyiddin menayangkan kepada pemberita suatu fail lut sinar yang dikatakan mengandungi “bukti” PN mempunyai sokongan melebihi 112 Ahli Parlimen.

Dalam kedudukan sekarang, PH memiliki wakil rakyat terbanyak iaitu sebanyak 82 orang berbanding 73 orang PN.

“Tapi bila saya menghadap tadi ada dikatakan yang ini tidak mencukupi. Saya tidak tahu apakah sebab-sebab di sebalik itu tapi buktinya ada di sini,” kata Muhyiddin.

Terdahulu, Barisan Nasional berkata ia memaklumkan kepada Agong bahawa tiada Ahli Parlimen BN menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Istana Negara memerintahkan wakil rakyat BN yang seramai 30 orang menghadap esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.